Lima kawasan penempatan baharu RMM akan dibangunkan di Bahagian Kuching — Abang Johari

Abang Johari memukul beduk sebagai simbolik merasmikan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Zon Kuching.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

KUCHINGm Jun 25: Lima kawasan di Bahagian Kuching telah dikenalpasti bagi pembangunan penempatan baharu Rumah Mampu Milik (RMM).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata lima kawasan tersebut ialah di Bako-Buntal, Sg Maong-Segedup, Gita Baru (bersebelahan Prima), Kampung Senari dan kawasan Lundu-Sematan.


Katanya, penempatan baharu itu akan memberi kemudahan kepada mereka yang berhijrah dari luar bandar dan harga seunit rumah adalah dalam lingkungan RM80,000 hingga RM100,000.

“Saya tahu Kuching ini besar dan dimana sahaja di dunia, isu perumahan adalah masalah yang dihadapi dan ini adalah akibat dari tekanan migrasi.

“Kedua, pekerjaan yang sesuai dengan latihan wujud di bandar maka kita bangunkan kawasan penempatan ini untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching di salah sebuah hotel di sini malam tadi.

Menurut Abang Johari yang juga Presiden PBB, masalah harga rumah yang terlalu mahal di bandar menyukarkan golongan migrasi untuk memiliki rumah sendiri.

Oleh itu, kata beliau, penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan membangunkan penempatan baharu dengan RMM di sekitar Bahagian Kuching.

Ujarnya, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk melakukan kerja penyukatan di kelima-lima kawasan.

Di samping itu katanya, jalanraya yang menyambungkan kawasan terbabit akan dinaiktaraf.

“Berkenaan bayaran premium, kita hanya mengenakan RM2,500 untuk tempoh 10 tahun.

“Kedua, semua kawasan ini akan terlebih dahulu ditembok, dan disediakan dengan kemudahan bekalan air dan elektrik.

“Ketiga, parit konkrit akan di bina dan jalanraya akan di tar,” ujar beliau.

Beliau menegaskan yang semua kos tersebut akan ditanggung oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS)dan harga rumah RMM itu nanti hanya berdasarkan kos pembinaan rumah sahaja.

Pinjaman membiayai RMM tersebut yang dilengkapi 3 bilik tidur dan 2 bilik air disediakan Mutiara Mortgage and Finance milik kerajaan Sarawak.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. — DayakDaily