PGA tumpaskan sindiket tekong darat ‘Geng Aidi Tailo’

Ahli Geng Aidi Tailo

KUCHING, 12 Jan: Sindiket tekong darat dikenali ‘Geng Adi Tailo’ yang aktif menyeludup masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tumpas di tangan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak pada Ahad lepas.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata sindiket terbabit berjaya dikesan Pasukan Khas ‘Op Benteng’ PGA yang kemudian diekori dari jam 1 petang pada hari tersebut.

Beliau memberitahu intipan dan risikan kemudian membawa kepada satu serbuan di kawasan pakir sebuah hotel di Batu 3 di sini yang disyaki dijadikan tempat transit untuk PATI.

“Hasil pemeriksaan berjaya menahan 22 orang yang terdiri lima tekong darat termasuk seorang warga Indonesia dan 17 PATI iaitu lapan lelaki, lapan wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Tangkapan ini melibatkan satu sindiket yang aktif dalam penyeludupan PATI iaitu Geng Aidi Tailo yang bergiat aktif menyeludup PATI di sekitar Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Mancha memberitahu geng terbabit mempunyai rangkaian sindiket pemerdagangan manusia dari Indonesia yang dikenali sebagai Kumpulan Feri Yeni.

“Sungguhpun begitu, suspek atau dalang utama iaitu seorang warga Indonesia turut berjaya ditangkap,” katanya.

Dalam operasi tersebut, tiga buah kenderaan termasuk kenderaan pacuan empat roda turut disita untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal setakat ini mendapati kesemua PATI tersebut dibawa masuk dari Biawak, Lundu untuk dihantar ke Sibu, Tatau dan Bintulu,” kata Mancha.

PATI yang berjaya diseludup masuk oleh sindiket terbabit

PGA Briged Sarawak akan terus membuat pemantauan pergerakan kumpulan-kumpulan yang aktif dalam aktiviti penyeludupan PATI di sempadan.

“Justeru itu orang ramai adalah diseru untuk menyalurkan sebarang maklumat penyeludupan PATI untuk siasatan dan tindakan susulan melalui nombo telefon 082-587222 atau Faks 082-688541,” ujar Mancha. — DayakDaily