Bomba selamatkan seorang lelaki tersepit dalam kereta di Samalaju

Anggota Bomba menyelamatkan pemandu tersepit.

BINTULU, 9 Mac: Seorang lelaki tersepit di dalam kenderaannya jenis Toyota Hilux selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jakan SGP, Samalaju, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 6.45 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu diketuai Pegawai Bomba Kanan Eric Wilson bergegas ke lokasi kejadian.


“Ketika tiba di lokasi, didapati mangsa masih tersepit di bahagian tempat duduk pemandu di dalam kenderaan berkenaan.

“Bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, operasi selesai sepenuhnya pada 7.42 pagi.

“Setelah berjaya dikeluarkan mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Manakala pemandu sebuah lagi kereta yang terlibat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. — DayakDaily