Kastam Sibu gagalkan cubaan membawa masuk 26.52kg dadah ke Sarawak

Dadah yang dirampas di Sibu.

KUCHING, 22 Mac: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu, Sarawak telah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dadah jenis Methamphetamine seberat 26.52 kilogram dianggarkan bernilai RM875,160.00 ke Sarawak.

Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata kes pertama dilaporkan pada 13 Mac di Lapangan Terbang Sibu sekitar jam 11.55 pagi.

Katanya, Unit Pemeriksaan Penumpang (UPP) dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Sibu telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 20an.


“Lelaki berkenaan ditahan oleh pihak Kastam sebaik sahaja imej imbasan ke atas kotak yang dibawa menunjukan tanda positif bahan narkotik.

“Pemeriksaan lanjut keatas kotak tersebut, membawa kepada penemuan sejumlah 13 bungkusan yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 13.26 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM437,580.00,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan disyaki sebagai keldai dadah yang bertanggungjawab untuk membawa masuk dadah berkenaan ke Sarawak.

“Mahkamah Majistret Sibu telah mengeluarkan perintah reman selama enam hari bermula 14 Mac 2024 ke atas lelaki tersebut bagi tujuan siasatan,” katanya.

Dalam kes berasingan pada 14 Mac 2024 jam lebih kurang 12.00 tengah hari, JKDM Sibu telah menyita sebuah kotak yang tidak dituntut di Lapangan Terbang Sibu.

“Pemeriksaan awal oleh Unit Pemeriksaan Penumpang (UPP), Lapangan Terbang Sibu ke atas kotak yang ditinggalkan tersebut didapati menunjukan tanda positif bahan narkotik.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan oleh pasukan Cawangan Penguatkuasaan Sibu telah menemui sejumlah 13 bungkusan disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 13.26 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM437,580,” katanya.

Tambahnya, Cawangan Penguatkuasaan Sibu sedang berusaha untuk mengesan individu yang meninggalkan kotak berkenaan di Lapangan Terbang Sibu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B akta Dadah Berbahaya 1952.

“Modus operandi bagi kes ini adalah membawa masuk bahan narkotik dari Wilayah Semenanjung Malaysia ke Wilayah Sarawak secara transit dan diletakan di dalam kotak bersama makanan ringan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini telah berjaya membanteras daripada diedarkan kepada 132,600 orang penagih dadah,” katanya.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. — DayakDaily