PGA Miri rampas rokok, minuman keras bernilai lebih RM2 juta dalam tiga serbuan berasingan

Pegawai penguatkuasa memeriksa sebahagian minuman keras yang dirampas dalam serbuan tersebut.

MIRI, 11 Nov: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras dianggarkan bernilai mencecah RM2.23 juta dalam tiga serbuan berasingan semalam.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata kejayaan tersebut adalah hasil maklumat dan risikan yang dijalankan di bawah operasi ‘Op Libas’.

Menurutnya serbuan pertama dilakukan diatas sebuah rumah di Jalan Miri-Bintulu Mega yang dijadikan stor penyimpanan rokok dan minuman keras disyaki belum lulus cukai kastam iaitu sekitar jam 9 pagi.


“Hasil pemeriksaan menemui 114,000 batang rokok putih dan 81,440 rokok kretek serta 326 botol minuman keras dengan nilai keseluruhan sekitar RM167,104,” katanya.

Sebahagian rokok yang dirampas dalam operasi tersebut.

Manakala serbuan kedua dilakukan sekitar jam 11 pagi ke atas sebuah rumah di Jalan Riam Happy Garden.

“Dalam serbuan tersebut, pasukan operasi menemui 5,376 tin bir dan 950 botol pelbagai jenis minuman keras yang dianggarkan bernilai RM54,240,” katanya lagi.

Hasil daripada siasatan yang dijalankan membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok yang dianggarkan bernilai mencecah RM2 juta dalam serbuan ketiga iaitu sekitar jam 1 petang di sebuah rumah di Spring Riam Garden.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2,236,744 dan kesemua rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

“Pasukan operasi turut menahan seorang lelaki tempatan yang kini masih disiasat di bawah Seksyen (1)(d) Akta Kastam 19767,” katanya.

Sepanjang pengoperasian yang dilaksanakan sejak awal tahun hingga 10 November, Briged Sarawak mencatatkan kejayaan bernilai RM35,570,709.34 dengan merekodkan sebanyak 148 kes yang melibatkan jumlah tangkapan seramai 408 orang (180 orang warga tempatan dan 228 orang pendatang tanpa izin).

Sementara sepanjang tempoh dua minggu yang lepas, Briged Sarawak mencatatkan nilai kejayaan rampasan hampir RM5 juta dan pertambahan nilai rampasan melebihi RM7 juta direkodkan dalam tempoh masa tiga minggu berturut-turut menjadikan kejayaan rampasan keseluruhan bernilai hampir RM35.6 juta. — DayakDaily