PGA Batalion 11 berkas lima lelaki buat halangan ‘haram’

Kelihatan lima suspek yang ditahan.

SERIAN, Julai 24: Tindakan lima individu membuat halangan menggunakan paip jenis PVC warna hitam di jalan raya utama berdekatan simpang tiga Kampung Daha Kisau di sini mengundang padah apabila mereka ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Supt Rosdi Inai berkata, kesemua suspek berusia 27 hingga 50 tahun itu diberkas menerusi Op Awas Bunan Gega kira-kira pukul 11 malam.

Menurutnya, sebelum itu, sepasukan lapan anggota PGA telah menjalankan ronda kenderaan di kawasan tanggungjawab (KTJ) bertempat di jalan utama berdekatan dengan Kampung Daha Kisau di sini.


“Apabila di lokasi, anggota PGA mengesan pergerakan lima lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan dengan berpakaian preman serta dipercayai bukan anggota RELA.

“Lima lelaki tersebut telah membuat halangan menggunakan paip jenis PVC warna hitam di jalan raya utama berdekatan simpang tiga kampung berkenaan dan aktiviti mereka tidak diketahui oleh Ketua Kampung Daha Kisau,” katanya di sini hari ini.

Inilah barangan rampasan daripada lima suspek.

Rosdi menambah, pemeriksaan ke atas kelima-lima suspek menemui pelbagai peralatan yang merbahaya.

Katanya, anggota PGA kemudian merampas selaras senapang patah, tiga bilah parang, satu batang besi, tujuh butir peluru dan tiga unit lampu suluh daripada kesemua suspek.

“Kelima-lima suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya. ā€” DayakDaily