Kemudahan kesihatan kawasan luar bandar akan dinaiktaraf – Gerawat

Gerawat (tujuh dari kanan) semasa program Kampung Angkat Pergigian di Rh Micheal Selangkor di Sungai Brit, Marudi. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 13 Sept: Kerajaan akan menaiktaraf kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar di Sarawak, kata Timbalan Menteri (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mempunyai perancangan untuk menaiktaraf kemudahan kesihatan di seluruh negeri.

“Ini sebagai langkah memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk khususnya di luar bandar,” katanya.


Gerawat berkata demikian di Pelancaran Program Kampung Angkat Pergigian dan Hari Promosi Kesihatan Pergigian Warga Emas Rumah Micheal Selangkor Sungai Brit, Marudi pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga Adun Mulu mahu program kampung angkat pergigian diadakan di kampung-kampung lain di sekitar Mulu.

“Terima kasih kepada Pejabat Pergigian Bahagian Miri kerana memilih satu kampung di kawasan DUN Mulu untuk menjadi kampung angkat pergigian.

“Saya dengar tadi dalam program Pejabat Pergigian ini mereka perlu membuat dua program satu tahun. Saya mohonlah kalau boleh tambah lagi dua program,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pergigian Bahagian Miri Dr Wan Mariam Wan Abdul Rahman dalam ucapan aluannya memberitahu Rumah Micheal Selangkor Sungai Brit ini dipilih memandangkan lokasinya yang strategik dan mudah untuk dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya.

Justeru, penduduk di kawasan Poyut Lubok Nibong supaya menggunakan kesempatan ini untuk melakukan pemeriksaan gigi mereka. — DayakDaily