Pesawat khas bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan berlepas hari ini

An AirAsia aircraft taking off. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 3 Feb: Penerbangan khas ke Wuhan, China, untuk membawa pulang warganegara Malaysia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini.

Pesawat AirAsia AK8264 bersama 12 krew dan lapan pegawai itu berlepas pada jam 3.50 petang dan akan membawa pulang seramai 141 warganegara Malaysia, termasuk pasangan serta anak-anak mereka dari wilayah wabak coronavirus itu.

Pesawat juga akan membawa pulang enam pegawai kedutaan Malaysia di China.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad, menerusi kenyataan media hari ini, berkata Misi Bantuan Kemanusiaan itu terbahagi kepada empat fasa.

Katanya, empat fasa itu ialah sebelum berlepas ke Wuhan, semasa misi membawa pulang, ketibaan di tanah air dan kemasukan semua individu yang terbabit ke pusat pemantauan.

“Mereka yang dibawa pulang hanyalah mereka yang didapati sihat setelah melalui saringan kesihatan yang akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Negara China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

“Mereka yang didapati bergejala akan dibawa ke fasiliti kesihatan di Wuhan untuk menerima rawatan selanjutnya,” katanya.

Pada fasa ketibaan, tambah beliau, pesawat yang membawa pulang rakyat Malaysia akan mendarat di KLIA, namun kesemua 167 penumpang tidak akan memasuki bangunan terminal KLIA.

Menurut Dr Dzulkefli, mereka akan turun dari pesawat dan terus menaiki bas khas yang seterusnya akan membawa mereka ke bangunan Air Disaster Unit (ADU) untuk proses dikontaminasasi dan saringan kesihatan.

“Mereka yang didapati bergejala akan akan dibawa terus ke hospital rujukan 2019-nCoV (novel coronavirus), manakala mereka yang tidak bergejala akan dibawa ke pusat pemantauan.

“Mereka hanya akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas disahkan sihat dan didapati negatif jangkitan 2019-nCoV,” katanya.

Dalam pada itu, setakat 3 Februari jam 12 tengahari, Dr Dzulkefli memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes positif coronavirus.

Jumlah kumulatif kes positif yang dilaporkan kekal lapan kes, iaitu tiga kes yang terdahulu dilaporkan dalam kalangan kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan coronavirus dan lima kes dalam kalangan kontak rapat.

Kesemua kes positif coronavirus ini adalah melibatkan warganegara China. —  DayakDaily