Kastam Sarawak rampas rokok seludup dengan nilai duti RM2.44 juta

Kelihatan kontena yang dirampas oleh Kastam Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 3: Jabatan Kastam berjaya merampas sebanyak 3.56 juta batang rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai sitaan sebanyak RM967,500.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, berkata jumlah duti Kastam hasil serbuan adalah sebanyak RM2.44 juta.


Menurutnya, pasukan Kastam telah menjejak dan memantau sebuah kontena yang disimpan di hadapan luar premis sebuah jeti persendirian di Jalan Gedung, Bintawa, di sini semenjak Sabtu lepas, sebelum menjalankan serbuan hari ini.

Kelihatan kotak rokok yang dirampas oleh Kastam Sarawak.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas sebuah kontena tersebut pasukan telah menemui sejumlah rokok yang disyaki belum lulus Kastam.

“Setelah melakukan intipan selama hampir dua jam ke atas kontena tersebut, ketua pasukan kemudiannya mengarahkan anggota yang terlibat untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kontena tersebut.

“Mangga besi keluli dipecahkan dan hasil pemeriksaan mendapati isi kandungan kontena tersebut dipenuhi muatan kotak-kotak rokok yang dipercayai diseludup,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sharifah Halimah menambah, kontena tersebut kemudian disita dan dibawa ke Stor Bahagian Penguatkuasaan Kastam Sarawak di Demak untuk proses pemeriksaan rapi serta siasatan lanjut.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kontena yang mengandungi komoditi rokok dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan laut, melewati sungai-sungai dengan menggunakan “feeder vessel” atau kapal-kapal kecil yang mengangkut pelbagai barangan dalam wilayah Sarawak.

“Kontena tersebut dipercayai diangkut dari bahagian Utara Sarawak ke Kuching melalui jeti persendirian.

“Pihak sindiket dipercayai nekad menggunakan pintu masuk wharf atau jeti persendirian kerana pintu masuk pelabuhan dikawal rapi, manakala pengangkutan melalui jalan darat juga diberi kawalan ketat oleh pelbagai agensi,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily