KUCHING, 11 Okt: Seorang pesara kerajaaan mengalami kerugian RM697,000 selepas membuat pelaburan crypto dan Bitcoin melalui aplikasi Yomaex.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata mangsa merupakan seorang lelaki berusia awal 70an dan dia mula terjebak dengan pelaburan tersebut sejak Februari lagi.
Katanya, mangsa mulanya tertarik dengan iklan di Facebook berkenaan pelaburan atas talian dan kemudian telah berhubung dengan seorang suspek lelaki dikenali sebagai ‘Cheong Sheng Hee’.
“Mangsa selepas itu dimasukkan ke dalam satu Group WhatsApp dan telah diajar membuat pelaburan dalam aplikasi Yomaex setiap malam.
“Mangsa kemudian membuat dua transaksi pindahan wang keseluruhan berjumlah RM697,000 ke satu akaun bank atas nama sebuah syarikat pada awal Oktober.
“Tujuan mangsa membuat pembayaran adalah untuk memboleh beliau mengeluarkan keuntungan pelaburan berjumlah USD 7,523,674.01,” kata Mohd Azman dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa hanya menyedari diri ditipu setelah keuntungan pelaburan gagal dikeluarkan.
“Malah mangsa diminta lagi membuat pembayaran tambahan berjumlah RM355,000 selepas itu.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya,” kata Mohd Azman.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh tampil membantu siasatan. — DayakDaily