Pesara kerajaan ‘lesap’ RM306,000 terpedaya sindiket Macau Scam

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 16: Akibat terpedaya dengan sindiket penipuan ‘Macau scam’, seorang wanita yang juga pesara kerajaan ‘lesap’ wang simpanannya sebanyak RM306,000, semalam.

Kejadian itu dilaporkan berlaku antara Sept 27 hingga Okt 15 lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang berusia 65 tahun itu menerima telah menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan yang dikenali sebagai Siti Rohana Abdullah dari Mahkamah Kuala Terengganu pada Sept 27 lepas.

Menurutnya, suspek kemudian mendakwa mangsa ada meminjam duit sebanyak RM50,000 dari Hong Leong Bank Kuala Terengganu.

“Suspek seterusnya mendakwa sekiranya mangsa tidak membayar hutang tersebut nama mangsa akan disenarai hitam, namun mangsa menjelaskan dia tidak dapat pergi ke Kuala Terengganu untuk membayar hutang tersebut.

“Panggilan telefon kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai Sarjan Halim Hashim dari IPK Kuala Terengganu dan mengatakan dia sedang menyiasat mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, suspek itu kemudian menyoal mangsa dengan pelbagai soalan.

Katanya, tidak cukup itu, suspek seterusnya mendakwa mangsa juga terlibat dengan sindiket penggubahan wang haram.

“Suspek berkenaan turut mendakwa akaun mangsa telah digunakan untuk tujuan jenayah dan mangsa diminta tidak memaklumkan perkara ini kepada sesiapa dan merahsiakan hal berkenaan.

“Suspek itu kemudian mengatakan dia akan membantu mangsa untuk menyelesaikan hal tersebut dan suspek juga mengatakan gerak geri dan segala pergerakan mangsa sedang diperhatikan,” katanya.

Seterusnya kata Mustafa, pada Okt 1 lalu telah diarahkan ke Affin Bank untuk membuka akaun baharu.

Jelasnya, kemudian mangsa telah diarahkan memindahkan wang ASB ke dalam akaun baharu Affin Bank yang baharu dibuka.

“Mangsa juga diminta untuk menghantar nombor kad ATM baharu Affin Bank iaitu nombor di depan dan belakang kad bank itu.

“Seterusnya mangsa telah diarah memberikan nombor telefon Sarjan Halim kepada pihak bank sekiranya ada panggilan dari pihak bank untuk tujuan penghantaran nombor PUK atau urusan yang melibatkan transaksi online.

“Mangsa kemudian memindahkan semua wang ASB miliknya berjumlah RM306,000 ke dalam akaun Affin Bank yang baharu dibuka itu,” jelasnya.

Mustafa menambah, pada Oktober 15 (semalam) mangsa telah ke Affin Bank Batu 7, dan membuat semakan melalui mesin ATM.

Katanya, mangsa kemudian terkejut apabila mendapati baki duit dalam akuannya hanya tinggal RM77.57.

“Mangsa yang rasa tertipu kerana wang telah hilang dari akaun Affin Bank sebanyak RM305,956 kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily