Peruntukan RM87.5 juta untuk AIM Sarawak Selatan tahun hadapan

Ting (dua dari kiri) menerima cenderahati dari Roslan sebagai mewakili Chong merasmikan majlis makan malam bersempena pelancaran KAMI dan Penjenamaan AIM Cawangan Kota Sentosa.

KUCHING, Dis 16: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Sarawak Selatan yang mempunyai seramai 14,000 ahli bakal menerima peruntukan sebanyak RM87.5 juta dari kerajaan tahun hadapan.

Pengurus Kanan AIM Wilayah Selatan, Roslan Pakon berkata demikian dengan peruntukan tersebut untuk diagihkan sebagai pinjaman kepada ahli-ahlinya yang terdiri dari golongan berpendapatan rendah bagi mereka menjalankan kegiatan ekonomi yang menambah pendapatan seperti berniaga atau menjalankan kegiatan pertanian.

“Untuk tahun hadapan kita akan mendapat peruntukan sebanyak RM87.5 juta bagi diagihkan kepada keseluruhan AIM Wilayah Sarawak Selatan yang terdiri dari enam cawangan kesemuanya,” katanya ketika menghadiri majlis makan malam bersempena pelancaran Kelab Aspirasi Milenium Ikhtiar (KAMI) dan Penjenamaan AIM Cawangan Kota Sentosa, di sini, semalam.

Majlis tersebut telah dirasmikan Setiausaha Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Kuching, Leslie Ting Xiang Zhi yang mewakili Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna, Chong Chieng Jen dan juga dihadiri Presiden KAMI, Nurul Ashikin Mohaldin.

Roslan berkata pada tahun ini, AIM Wilayah Sarawak Selatan mensasarkan mengagihkan peruntukan terbabit sebagai pinjaman kepada ahli sehingga mencecah sebanyak RM93 juta.


Bagaimanapun sehingga Oktober lepas, pihaknya sudah menagihkannya sebanyak RM57 juta peruntukkan itu kepada lebih seramai 13,149 peminjam.

Sementara itu, mengenai AIM Wilayah Sarawak Selatan, beliau mendedahkan salah satu cawangannya ialah Kuching 2 atau nama barunya cawangan Kota Sentosa yang ketika ini ada 1,747 ahli dan bakal menerima peruntukan berkenaan sebanyak RM8 juta bagi diagihkan sebagai pinjaman kepada ahlinya tahun hadapan.

“Cawangan Kota Sentosa telah mengagihkan sehingga sebanyak RM6.3 juta (sebagai pinjaman kepada ahlinya) tahun ini sehingga bulan November lepas dan sasarannya sepanjang tahun ini untuk mengagihkan sehingga RM10 juta peruntukan itu” katanya.

Beliau mendedahkan peruntukan sebanyak RM6.3 juta terbabit telah diagihkan sebagai pinjaman kepada seramai 1,494 ahli cawangan Kota Sentosa dan berikutan peruntukan akan bertambah kepada RM8 juta tahun hadapan, cawangan berkenaan mensasarkan menambah ahlinya seramai 420 orang tahun hadapan.

Katanya sebagai usaha menambah ahli cawangan terbabit dan menambahkan juga jumlah agihan pinjamannya, Kelab Usahawan Ikhtiar Kuching 2, Kelab Usahawan Ikhtiar Mambong dan Kelab Usahawan Ikhtiar Stampin telah bersetuju bergabung sebagai Kelab Aspirasi Milenium Ikhtiar (KAMI).

Roslan berkata KAMI berfungsi melaksanakan program keushawanan, kebajikan dan kesukarelaan kepada ahli AIM Wilayah Sarawak Selatan termasuk mendapatkan sumbangan dari ahli dan wakil rakyat dan sebagainya yang tidak dapat dijalankan AIM. — DayakDaily