2,029 guru, warga pendidik menyertai MSKPPM Ke-46 yang bermula hari ini

Azhar (kanan) dan para jemputan lain menunjukkan poster Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-46 di majlis perasmian pesta itu.

KUCHING, Dis 16: Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-46 yang menghimpunkan 2,029 guru dan warga pendidik dari seluruh negara ke bandaraya Kuching dan Kota Samarahan telah secara rasminya bermula hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Azhar Ahmad telah merasmikan pesta tersebut yang akan berlangsung sehingga Disember 21 depan dengan tema “Ja’ Berambih Ngagai Sarawak” di Dewan Toh Puan Hajah Masniah, Sekolah Menengah Tun Abang Haji Openg, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Pesta terbabit menghimpunkan keseluruhannya seramai 2,029 pemain dan pegawai terdiri dari guru dan warga pendidik dari seluruh negara dari 17 pasukan kontinjen, terbahagi kepada 13 pasukan kontinjen negeri, tiga pasukan kontinjen wilayah persekutuan dan satu pasukan koninjen dari Persatuan Sukan dan Kebudayaan Kementerian Pendidikan Malaysia (MESCA).


Semua pasukan terbabit akan menampilkan seramai 1,677 pemain dalam acara sukan pesta tersebut iaitu bola sepak, bola tampar, boling tenpin, golf, sepak takraw, dan catur serta satu pertandingan kebudayaan iaitu kugiran di Auditorium Sekolah Seni Malaysia dari Disember 18 hingga 20 depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pula dijangka akan merasmikan majlis makan malam penutupan pesta itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sejingkat di sini, Disember 20 depan.

Guru dan warga pendidik dari seluruh negara yang menyertai Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-46 di majlis perasmian pesta itu.

Sementara itu, Azhar ketika majlis perasmian pesta itu menasihatkan kalangan guru untuk menjaga profesion perguruan ketika pesta itu berlangsung dan meneruskannya setelah mereka pulang bertugas ke negeri masing-masing selepas pesta itu.

“Sejajar dengan itu juga, warga pendidikan perlulah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, penerapan budaya kerja berprestasi tinggi dan mengamalkan nilai asas seperti ditekan Menteri Pendidikan,” katanya dengan antara nilai asas terbabit termasuklah kasih sayang dan saling hormat menghormati. — DayakDaily