Pertugas KKM dilarang buat kenyataan awam tanpa kebenaran, kata Syafiq

Mohd Syafiq Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Setiap penjawat awam termasuk pertugas kesihatan adalah dilarang sama sekali untuk membuat sebarang kenyataan awam tanpa kebenaran daripada pihak atasan mereka.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata larangan itu adalah selaras dengan prinsip-prinsip perkhidmatan dan peraturan berkaitan tatatertib, yang menegah penjawat awam untuk membuat pernyataan secara langsung atau tidak yang menyentuh pelaksanaan dasar awam, program serta keputusan Kerajaan tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran.

Katanya, kenyataan tidak wajar yang dibuat tanpa usul periksa bukan sahaja akan menjejaskan imej pegawai terlibat sebagai penjawat awam, malah boleh menyebabkan kekeliruan dan kegelisahan masyarakat yang sekaligus menjejaskan kredibiliti perkhidmatan awam serta Kerajaan.


“Peraturan tersebut bukanlah bertujuan menghalang mana-mana pegawai untuk bersuara, tetapi lebih kepada memastikan pegawai menggunakan saluran maklumbalas dan aduan yang betul serta menjaga imej dan kredibiliti pegawai, perkhidmatan awam dan Kerajaan.

“Justeru, setiap pegawai di KKM dari semasa ke semasa diingatkan supaya memelihara kesopanan dan kesusilaan semasa menggunakan media sosial serta menjaga batas-batas penggunaannya agar tidak terjebak sebagai salahlaku yang boleh dikenakan hukuman tatatertib,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KKM memandang serius tindakkan atau salah laku kakitangannya dalam penggunaan media sosial dan kecenderungan pegawai terlibat dalam membuat kenyataan awam secara tidak wajar yang berupaya memberikan imej buruk kepada KKM.

Katanya, setiap kes yang diadukan atau dikenal pasti sekiranya sabit kesalahan, hukuman tatatertib akan dikenakan berdasarkan kepada peraturan yang berkuatkuasa.

Baru-baru ini tular dalam media sosial satu kenyataan mengkritik mengenai dasar pelaksanaan pemberian vaksin yang kononnya ditulis oleh salah seorang petugas kesihatan KKM. — DayakDaily