2,063 kes baru, 5 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 4 Mac: Sebanyak 2,063 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruh kes di negara ini terus meningkat kepada 305,943 kes dengan keboleh jangkitan sebanyak 23,161 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini sembilan kes merupakan kes import yang dikesan mendapat jangkitan di luar negara.

Katanya, negeri selangor kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 630 kes dilaporkan hari ini diikuti Sarawak (361 kes) dan Pulau Pinang (337 kes).

“Sehingga kini, seramai 193 kes sedang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 99 kes daripadanya masih memerlukan bantuan alat penafasan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat lima kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat kes berkenaan terus meningkat kepada 1,153 kes atau 0.38 peratus.

“Setakat jam 12 tengahari tadi, sejumlah 2,922 kes dilaporkan sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 ialah 283,629 kes bersamaan 92.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 14 kluster baharu dikesan hari ini dengan 12 daripadanya merupakan kluster di tempat kerja manakala dua kluster lagi adalah kluster komuniti dan kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, sehingga kini sejumlah 1,117 kluster telah dikenalpasti diseluruh negara dengan 687 klus telah diisytihar tamat.

“Ketika ini, sebanyak 490 kluster masih aktif termasuk 14 kluster yang dikenalpasti pada hari ini dengan 76 kluster daripada jumlah kluster aktif itu merekod jumlah pertambahan kes baharu pada hari ini,” katanya. -DayakDaily