KUCHING, Sept 23: Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2018 Peringkat Negeri Sarawak anjuran Jabatan Penerangan Malaysia bakal berlangsung di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce (TAZA), Institut Perguruan Kampus Batu Lintang pada Sept 29 ini.
Tiga kumpulan yang telah berjaya ke pusingan akhir bakal bertanding merebut gelaran juara pada kali ini dengan masing-masing mewakili Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Bahagian Sri Aman dan Betong dan Bahagian Miri dan Bintulu.
Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak (JPMS) berkata, pertandingan pengisahan kenegaraan adalah aktiviti komunikasi bersemuka berkonsepkan seni lakon dan penceritaan.
Kata JPMS, ia adalah sebagai kaedah pembujukan yang menggabungkan semua kaedah komunikasi yang bermatlamatkan membentuk minda masyarakat bersatu padu, patriotik, bestari dan cintakan negara.
“Program ini yang mula diadakan pada 2003 merupakan platform terbaik yang disediakan oleh Jabatan Penerangan Malaysia bagi mengangkat martabat tokoh-tokoh yang berjasa kepada negara.
“Ia diharap menjadi dorongan dan motivasi kepada generasi muda untuk membina negara bangsa mengikut acuan kepimpinan negara,” kata JPMS dalam satu kenyataan media hari ini.
JPMS menambah, pertandingan pengisahan kenegaraan bertemakan Sayangi Malaysiaku pada tahun ini diharap dapat meningkatkan jati diri rakyat dan semangat patriotik.
Ujar JPMS, ia juga mampu mendidik warga bangsa mempunyai sifat positif dalam menghargai pengorbanan, perjuangan serta sumbangan tokoh-tokoh negara.
“Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen dijangka hadir menyempurnakan majlis itu kelak,” kata JPMS. — DayakDaily