92 graduan terima skrol Diploma Pascasiswazah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi Unimas

Graduan Diploma Pascasiswazah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi merakamkan gambar bersama barisan tertinggi pengurusan Unimas.

KOTA SAMARAHAN, Sept 23: Majlis Konvokesyen ke-11 bagi program Diploma Pascasiswazah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah berlangsung dengan penuh gemilang apabila 92 graduan menerima penganugerahan diploma pascasiswazah tersebut di Arena Gemilang, DeTAR Putra Unimas di sini.

Majlis tersebut amat bermakna bagi meraikan dan mengiktiraf kejayaan para graduan program yang juga merupakan staf akademik Unimas.

Kejayaan yang dicapai oleh para graduan program itu yang majoritinya terdiri daripada staf akademik baharu merupakan satu manifestasi penting dalam memartabatkan budaya kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran di UNIMAS.

Dalam ucapan pembukaan majlis konvokesyen itu, Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi memberitahu, beliau menekankan kerelevanan kurikulum program tersebut dengan keperluan terkini dalam pendidikan tinggi.

Jelas beliau, contohnya, melalui program itu para peserta perlu menguasai pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan cara pembelajaran Generasi-Z.

“Peserta program juga dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mereka bentuk semula pembelajaran selaras dengan keperluan Pendidikan 4.0 (Education 4.0).

“Ini penting agar mereka dapat melahirkan pelajar universiti yang berupaya menyahut pelbagai cabaran Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, satu lagi keunikan program ini ialah para peserta juga didedahkan kepada pelbagai kaedah untuk mengintegrasikan penyelidikan dalam pengajaran dan pembelajaran atau dikenali sebagai amalan SoTL (‘Scholarship of Teaching and Learning’).

Jelasnya, ia penting untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran serta menjana kesarjanaan atau pengetahuan baharu dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bagi pelbagai disiplin.

“Say juga berasa bangga kerana program ini telah juga mendapat kelulusan akreditasi sementara daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada tahun ini.

“Sesungguhnya, ini merupakan satu pengiktirafan terhadap tahap kualiti program ini kerana pelbagai testimoni positif khasnya daripada alumni program telah menyakinkan pihak pengurusan universiti yang program ini juga harus ditawarkan kepada pihak luar agar dapat memberi manfaat bersama kepada para pendidik di institusi pengajian yang lain, khasnya universiti-universiti dan kolej-kolej di sekitar Sarawak dan Sabah,” katanya.

Justeru itu kata Mohamad Kadim, program itu akan ditawarkan kepada umum pada tahun depan setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2003, seramai 449 graduan telah dihasilkan termasuk 92 graduan pada Konvokesyen ke-11, 2018. — DayakDaily