Persatuan Warisan Bung Bratak terima dana segera RM500,000 dari Ketua Menteri

Dato Peter Minos

KUCHING, Okt 19: Pusat Warisan Bung Bratak (BBHC) yang terletak di Kampung Tembawang Sauh di Bau dekat sini hampir siap pembinaannya.

Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak (BBHA), Datuk Peter Minos berkata pihaknya ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang menjadi ‘penyelamat’ pusat berkenaan dengan meluluskan geran sebanyak RM500,000 bagi pembelian perabot serta barangan lain untuk kegunaan BBHC.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan telah memperuntukkan dana sebanyak RM8 juta bagi membangunkan pusat warisan berkenaan, namun peruntukan tersebut tidak cukup untuk menampung pembelian peralatan lain serta perabot.


“BBHA sangat bertuah dan gembira kerana ketua menteri (Abang Johari) telah meluluskan permohonan kita dan ini membuktikan beliau amat berminat dengan sejarah asal kaum Bidayah sekali gus memacu industri eko-pelancongan di sini.

“Apa lain yang boleh saya katakan tetapi jutaan terima kasih kepada Abang Johari kerana tanpa dana RM500,000 dari kerajaan negeri, kita mungkin berdepan masalah untuk mencari dana sebanyak itu.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak juga banyak membantu dalam membina laluan hingga ke puncak Bukit Bung Bratak dengan kos lebih daripada RM500,000,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Peter menambah, pihak persatuan juga merakamkan penghargaan kepada bekas Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Anthony Nogeh serta pihak Pejabat Daerah Bau dan Majlis Daerah Bau dalam penyediaan tempat letak kenderaan di situ.

Buat masa ini kerja-kerja akhir bagi menyiapkan pusat berkenaan sedang dijalankan dan akan dibuka kepada masyarakat umum mulai 1 Januari, 2019.

“Ketua menteri dijangka hadir merasmikan BBHC sempena Hari Bung Bratak pada 1 Mei tahun depan. Justeru, kita (masyarakat Bidayuh) harus menampilkan komitmen penuh kepada kerajaan negeri serta jabatan atau agensi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Peter memberitahu BBHC juga memiliki pusat ‘retreat’ yang dikelilingi gunung yang memiliki permandangan yang cukup indah.

Katanya, antara lain terdapat dua air terjun yang terletak berhampiran pusat warisan berkenaan termasuk lubang air panas.

“BBHC juga akan menampilkan seni, budaya dan tradisi Bidayuh, mengandungi dua rumah panjang. Satu daripadanya untuk penginapan sehingga 100 orang dan sebuah lagi untuk dewan seminar, muzium mini, pejabat dan bilik upacara.

“Ia juga mengandungi sebuah baruk besar iaitu rumah kebudayaan Bidayuh yang diberi wajah baharu untuk tarikan para pelancong,” jelasnya.

Selain itu, beliau yakin pusat warisan berkenaan akan menjadi satu tarikan kepada pelancong dan pengunjung tempatan dan luar negara kerana pemandangannya yang berada di atas bukit, trek hutan, air terjun, mata air, hutan primer selain fauna dan flora di sekitarnya.

Jelas beliau, setiap tahun pada Hari Bung Bratak iaitu disambut pada 1 Mei, ribuan orang akan mendaki bukit setinggi 1,000 kaki atas tujuan sejarah dan kebudayaan.

“Ini terutamanya bagi masyarakat Bidayuh Jagoi-Bratak memandangkan nenek moyang mereka berada di situ sejak 750 tahun yang lepas. BBHA juga akan menyediakan penjaga atau juru arah bagi memastikan keunikan di sekitar Bung Bratak akan sentiasa terpelihara sepanjang masa.

“Kita juga yakin Bung Bratak akan menjadi ‘green lungs’ yang terletak berhampiran pusat bandar raya Kuching,” katanya. — DayakDaily