Persatuan bersetuju untuk tidak menaikkan kadar upah bagi perkhidmatan gunting rambut

KUCHING, June 12: Tujuh persatuan penyedia perkhidmatan dandanan dan gunting rambut telah bersetuju untuk tidak menaikkan kadar upah bagi perkhidmatan gunting rambut dan hanya mengenakan caj tambahan kepada pengguna untuk alatan pakai buang.

Menurut Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) DatoukIskandar Halim Sulaiman, satu sesi libat urus telah diadakan oleh Bahagian Penguat Kuasa Kementerian bersaman dengan wakil-wakil daripada tujuh persatuan penyedia perkhidmatan dandanan dan gunting rambut pada 9 June 2020, dengan objektif untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan kos- kos langsung yang ditanggung oleh peniaga ekoran daripada pematuhan Standard Operasi Prosedur (SOP) pembukaan perkhidmatan tersebut.

“Hasil mesyuarat telah mencapai persetujuan untuk peniaga tidak menaikkan kadar upah bagi perkhidmatan gunting rambut dan hanya mengenakan caj tambahan kepada pengguna bagi dua item sahaja iaitu alas gunting rambut pakai buang dan set sarung tangan serta caj tambahan yang dikenakan bagi item tersebut perlu berpatutan dengan merujuk kepada kos belian bagi dua barangan tersebut sahaja,” katanya di dalam kenyataan media hari ini.

Tujuh Persatuan yang hadir adalah Malaysian Hairdressing Association (MHA), Hairdressing Skills Development Association (HSDA), Malaysian Bumiputera Barber Association (MBBA), Malaysian Indian Hairstylist Empowerment (MIHASS), Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (MINDAS), Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Persekutuan (PJRISWP), Bumiputra Hairdressing Association (BUHA) dan L’oreal Malaysia.

Selain itu, Iskandar juga berkata Bahagian Penguatkuasa, Kementerian telah memantau dan membuat pemeriksaan ke atas penyedia perkhidmatan di seluruh negara mulai 10 Jun 2020 melalui tindakan di bawah OPS CATUT 7.0 (Dandanan & Gunting Rambut).

“Jumlah pemeriksaan premis perkhidmatan gunting rambut yang telah diperiksa pada 10 Jun 2020 adalah sebanyak 151 premis bagi 274 perkhidmatan gunting rambut yang melibatkan pengeluaran notis sebanyak 250 Notis di bawahN Seksyen 21, AKHAP 2011,” tambahnya.

Beliau mengingatkan bahawa mana-mana peniaga yang didapati menaikkan caj perkhidmatan telah diarah untuk menurunkan kepada caj yang asal dan sekiranya, mereka gagal atau enggan mematuhi arahan tersebut maka tindakan tegas akan diambil di bawah AKHAP 2011 dan boleh didenda sehingga RM500,000.00.

“Saya faham bahawa peniaga perlu mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) bagi pembukaan perkhidmatan tersebut dengan pertambahan beberapa kos perniagaan. Namun ianya adalah norma baharu yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan penularan COVID 19,” katanya.

Iskandar turut menegaskan bahawa caj tambahan yang hanya dibenarkan untuk dikenakan kepada pelanggan hanya merujuk kepada dua item barangan yang digunakan oleh pelanggan sahaja iaitu alas gunting rambut pakai buang dan set sarung tangan.

“Peniaga perlu pastikan caj tersebut adalah berpatutan dengan merujuk kepada kos belian bagi penggunaan setiap barangan tersebut bagi mengelakkan daripada sebarang tindakan undang-undang diambil tehadap peniaga,” jelas beliau. –DayakDaily.