Persatuan Bangsa Sekapan Belaga sokong Liwan dan Chukpai

Pengerusi Persatuan Bangsa Sekapan Belaga, Erick Drenner Dangan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mac: Persatuan Bangsa Sekapan Belaga menyertai persatuan etnik lain yang mengemukakan permintaan supaya daerah Belaga dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur yang sepatutnya.

Terdahulu, persatuan dari etnik Penan, Kenyah, Kayan dan Punan telah pun mengemukan permintaan yang sama menerusi laporan DayakDaily.

Lima persatuan yang mewakili etnik di Belaga ini menyokong kenyataan yang dibuat ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang dan ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon pada Isnin lepas (Mac 18).

Liwan yang juga Menteri Muda Bekalan Air mengeluarkan kenyataan di satu sidang media bahawa program pembangunan di Daerah Belaga dari pelbagai aspek sangat perlahan.

Dalam sebuah kenyataan, pengerusi Persatuan Bangsa Sekapan Belaga Erick Drenner Dangan mahukan Sarawak Energy Bhd, yang menguruskan kedua-dua loji elektrik Empangan Bakun dan Murum di daerah tersebut, membantu membangunkan Belaga dan penduduk setempat.

“Kita kecewa dengan Sarawak Energy kerana mengabaikan pembangunan di Belaga, yang mana daerah ini telah memberi pendapatan lumayan kepada organisasi kerajaan tersebut.

“Sesungguhnya kita tidak menghalang pembangunan di kawasan lain di negeri ini tetapi Sarawak Energy harus faham betapa penduduk Belaga telah berkorban untuk memberi laluan kepada pembinaan dua empangan ini,” katanya.

Beliau juga berpendapat bahawa Sarawak Energy tidak memberi keyakinan kepada penduduk setempat.

Erick turut mendakwa belia bangsa Sekapan memantah keras cadangan untuk menambah satu lagi turbin di Empangan Bakun untuk meningkatkan kapasiti kuasa.

Tambah beliau, masyarakat Orang Ulu sudah berada di satu tahap yang mana mereka tidak mampu lagi bersabar dengan permainan ini.

“Dari aspek peluang pekerjaan, kita minta agensi kerajaan tersebut mengeluarkan statistik berapa ramai penduduk asal Belaga yang diambil bekerja,” tambah Erick.

Beliau turut menggesa supaya graduan dari Daerah Belaga diberi keutamaan untuk mengisi jawatan kosong di Sarawak Energy. — DayakDaily