‘Geng Along’ aktif curi kenderaan tumpas di Kota Samarahan

Jaimi Husin

KOTA SAMARAHAN, 9 April: ‘Geng Along’ yang disyaki terlibat aktif mencuri kenderaan sejak tahun 2020 tumpas.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata sindiket tersebut tumpas dengan tertangkapnya lima ahli mereka yang terdiri daripada tiga lelaki berusia 26,31 serta 41 tahun dan dua wanita berusia 17 serta 29 tahun.

“Melalui kejayaan tangkapan ini, pihak IPD Kota Samarahan telah berjaya menyelesaikan empat kes selain kes di Kota Samarahan.


“Hasil soal siasat mendapati geng ini turut mempunyai keterangan suspek-suspek ini terlibat dalam kegiatan curi kenderaan di daerah lain, antaranya Kuching, Simunjan dan Bintulu,” katanya dalam sidang media di IPD Kota Samarahan hari ini.

Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dengan denda.

Hasil semakan rekod lampau kesemua suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau dalam pelbagai jenis kes jenayah.

“Salah seorang dari mereka adalah orang dikehendaki bersabit kes yang disiasat oleh komersil di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kes tipu),” katanya.

Manakala saringan air kencing juga mengesahkan dua daripada suspek positif dadah.

“Polis meneruskan siasatan dengan mengesan tiga lagi rakan suspek yang masih bebas dan mengesan kedudukan barang kes,” katanya. — DayakDaily