Perolehan 2019 melebihi RM400 juta, SKM akan mempergiat koperasi sekolah

Nordin (duduk tiga kiri) bersama peserta Global Youth Forum 2020.

KUCHING, 7 Feb: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memberi tumpuan kepada koperasi sekolah bagi mempergiatkan lagi pergerakan koperasi di negara ini.

Pengerusi eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh, berkata setakat ini ada sebanyak 2,433 koperasi sekolah di seluruh negara dengan ahli seramai 1.6 juta orang. Aset pula mencecah RM354 juta dan perolehan tahunan melebihi RM400 juta tahun lepas.

“Ini budak sekolah yang bawa duit syiling sahaja dalam poket. Dari situlah sekarang ini sampai RM400 juta (perolehan koperasi sekolah seluruh negara tahun lepas).


“Orang yang pandang serong (koperasi sekolah) tidak nampak hal ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Global Youth Forum 2020, di sini, semalam.

Salleh juga mendedahkan ada sembilan koperasi sekolah berjaya mencatatkan perolehan tahunan melebihi RM1 juta, yang melebihi perolehan kebanyakan koperasi dewasa.

Selain itu terdapat 38 koperasi sekolah termasuk tiga dari Sarawak berjaya mencatatkan perolehan tahunan melebihi RM800,000 dan dijangkakan akan mencecah RM1 juta dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.

“Ini membolehkan kebanyakan koperasi sekolah di negara ini mampu menjadi penaja utama kepada aktiviti pelajar ataupun membantu pelajar miskin atau menyumbang kepada keperluan lain bagi sekolah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan rekod SKM Sarawak, negeri ini ada sebanyak 587 koperasi pengguna dengan ahli seramai 204,794 orang. Aset pula melebihi RM120 juta dan perolehan tahunan melebihi RM94.8 juta dan untung tahunan melebihi RM14 juta pada 2018.

Koperasi pengguna terbabit terbahagi kepada sebanyak 398 koperasi dewasa yang ada seramai 28,009 ahli dan sebanyak 189 koperasi sekolah dengan 176,785 ahli.

Selain itu, Sarawak juga ada keseluruhannya sebanyak 15 koperasi belia dengan ahli seramai 860 orang dan aset melebihi RM1.3 juta, serta perolehan tahunan mencecah RM307,802 dan untung tahunan mencecah RM92,424 bagi tahun terbabit. — DayakDaily