Permohonan Kenyalang Gold Card cecah 8,505 setakat 21 Januari — Fatimah

Fatimah (duduk empat dari kiri) pada sidang media di Kuching hari ini. Turut kelihatan Wee (duduk tiga dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jan 22: Jabatan Kebajikan Negeri Sarawak setakat 21 Januari telah menerima sebanyak 8,505 borang permohonan Kenyalang Gold Card (KGC).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata sambutan terhadap insiatif kerajaan melalui KGC untuk membantu golongan warga emas sangat memberansangkan di seluruh bahagian.


Katanya, walaupun pelancaran kad tersebut hanya akan dilakukan pada 7 Mac ini, namun mereka yang layak digalakkan untuk membuat permohonan sekarang.

Selain itu, tambah beliau, jumlah rakan-rakan strategik yang terlibat dalam inisiatif tersebut juga telah meningkat kepada kepada 31, dan terdiri daripada peruncit dan institusi perubatan termasuk Pustaka Negeri Sarawak.

“Kita mengalu-alukan rakan-rakan strategik yang menawarkan rebate dan diskaun kepada pemegang Kenyalang Gold Card.

“Ini juga menunjukkan kita perihatin kepada golongan warga emas dan ia adalah untuk kesejahteraan mereka,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu beliau telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak.

Statistik jumlah terkumpul permohonan KGC mengikut bahagian setakat 21 Januari ialah Kuching menerima 3,010 borang, Serian (67), Samarahan (68), Sri Aman (378), Betong (295), Sarikei (686), Sibu (1,641), Kapit (282), Mukah (241), Bintulu (583), Miri (873) dan Limbang(381).

Pada sidang media itu juga, Fatimah turut menerima sejumlah 539 borang permohonan KGC yang diserahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng.

Permohonan itu adalah hasil usaha MBKS yang telah bergerak ke KMC Flats di Padungan untuk membantu golongan yang layak membuat permohonan.

Selain itu, MBKS juga telah membuka kaunter permohonan di aras bawah bangunan yang beroperasi dari hari Isnin sehingga Jumaat dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Fatimah (empat dari kanan) menyerahkan geran tahunan dari Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak kepada wakil dari Serakup Indu Dayak Sarawak di Kuching.

Pada majlis yang sama, Fatimah turut menyerahkan geran tahunan dari Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) kepada empat buah pertubuhan bukan kerajaan(NGO).

Empat NGO tersebut adalah Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) yang menerima RM150,000, Serakup Indu Dayak Sarawak (RM10,000), Sarawak Family Planning Unit (RM20,000) dan Jawatankuasa Pelaksanaan Aktiviti Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (RM54,400). — DayakDaily