Bomba berjaya selamatkan wanita cuba bunuh diri

Seorang wanita cuba bunuh diri dengan terjun dari jambatan.

LAWAS, Mac 18: Niat seorang wanita untuk membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Kampung Pengalih di sini hari ini berjaya digagalkan oleh pasukan bomba.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas berjaya mendapatkan mangsa selepas berusaha memujuk serta menenangkan mangsa selama kira-kira lima minit.

Katanya, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 7.05 pagi.


“Sepasukan enam anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan tindakan susulan.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati seorang wanita yang berusia 40-an, cuba untuk membunuh diri dengan terjun dari jambatan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, operasi menyelamat itu turut disertai oleh pasukan polis.

Katanya, wanita tersebut kemudian dihantar ke Hospital Lawas bagi mendapati rawatan sebelum pihak polis mengambil keterangan daripadanya.

“Operasi menyelamat itu tamat pada pukul 7.29 pagi,” katanya. — DayakDaily