Perkhidmatan bas sekolah percuma di Kuching bermula 3 Ogos, kata Lee

Datuk Lee Kim Shin

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Julai: Perkhidmatan bas sekolah secara percuma di sekitar bandar raya Kuching yang dijadualkan bermula hari ini telah ditangguhkan kepada 3 Ogos 2020, kata Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Ia berikutan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) semalam yang memutuskan sesi persekolahan bagi sekolah menengah di tiga daerah, iaitu Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan disambung hari ini ditangguh ke 3 Ogos 2020.


Keputusan ini dibuat berikutan kes penularan Covid-19 di daerah Kuching yang semakin meningkat.

“Malangnya, perkhidmatan bas sekolah secara percuma buat para pelajar di sekitar bandar raya Kuching akan bermula 3 Ogos ini.

“Namun, majlis pelancaran tetap akan diadakan petang ini yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” kata Lee.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai sidang media Hari Sarawak 2020 di Komplek DUN pagi tadi.

Dalam pada itu, Lee memaklumkan bahawa semua pengendali perkhidmatan bas sekolah percuma telah diarah untuk mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, pengendali tersebut hendaklah sentiasa melakukan proses sanitasi terhadap bas mereka.

“Saya juga telah meminta pihak Bomba untuk memberi tunjuk ajar berhubung kaedah melaksanakan proses sanitasi,” katanya.

Menurut Lee terdapat 739 pengendali bas sekolah yang aktif di seluruh Sarawak. — DayakDaily