Perintah larangan pemanduan kenderaan barangan selama 5 hari mulai 30 April

Lee (dua dari kiri) pada sidang media di Stesen Penguatkuasa JPJ Serian.

SERIAN, 26 April: Perintah larangan pemanduan kenderaan barangan akan dilaksanakan selama 5 hari semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia dilaksanakan pada 30 April hingga 2 Mei dan 7 hingga 8 Mei.

“Larangan ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya nahas di jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dan kenderaan ringan.


“Ia juga dilaksanakan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Operasi Penguatkuasaan Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 di Stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Serian.

Menurut Lee, tempoh operasi penguatkuasaan tahun ini adalah mulai 29 April sehingga 8 Mei 2022.

Dalam pada itu tambah beliau, tujuh kesalahan lalulintas utama akan menjadi fokus dalam kempen tahun ini.

Katanya, pihak penguatkuasa akan memantau kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Gagal patui isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, memotong garisan berkembar, tidak memakai tali pinggang, membawa lebih muatan dan membawa muatan berbahaya,” ujar Lee.

Beliau memaklumkan bahawa statistik kemalangan jalan raya bagi negeri Sarawak turun 22 peratus iaitu sebanyak 20,788 (Tahun 2021) berbanding tahun sebelum yang telah mencatat sebanyak 26,686 (Tahun 2020).

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil. — DayakDaily