Pergerakan Wanita PBB sokong pembentukan GPS

Fatimah (duduk tengah) merakamkan gambar bersama pergerakan Wanita PBB dan Wanita GPS.

KUCHING, Jun 28: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menyokong sepenuhnya pembentukan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketuanya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan GPS adalah selari dengan perubahan semasa politik semasa sekali gus memastikan kepentingan negeri dan serta rakyat di bumi kenyalang ini dilindungi.

“GPS merupakan satu platform baharu untuk membawa negeri ini ke hadapan dalam menghadapi cabaran sejajar dengan aspirasi kerajaan dan rakyat yang menginginkan kelangsungan pembangunan di Sarawak.


“Sehubungan itu, kita dalam pergerakan wanita PBB akan turun padang untuk bertemu dengan masyarakat akar umbi dan memperjelaskan mengenai objektif penubuhan GPS serta pelbagai lagi supaya mereka lebih jelas tentang GPS,” katanya selepas majlis Ramah Tamah Aidilfitri Wanita PBB dan Wanita GPS.

Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak menambah, GPS yang akan dilancarkan pada Julai ini akan memberi tumpuan segera dalam menangani isu-isu yang dihadapi rakyat.

Katanya, antara isu yang masih menghantui masyarakat khususnya di kawasan luar bandar negeri ini adalah bekalan air bersih serta bekalan elektrik.

“Kita juga sedar rakyat turut berdepan isu perhubungan terutamanya melibatkan kawasan yang sukar dihubungi dengan jalan raya dan kerajaan akan terus berusaha mengatasi isu berkenaan.

“Kerajaan negeri juga terus memberi tumpuan kepada isu tanah, liputan Internet, pendidikan, perumahan, dan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya lagi.

Pada Jun 12 lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan keputusan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan membentuk GPS berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan sebulat suara empat parti iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar BN dengan menubuhkan GPS adalah demi ‘survival’ politik dan kelangsungan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

Keputusan berkenaan dilakukan selepas mengambil kira perkembangan politik semasa khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 9 lalu.

GPS yang dibentuk akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk kepentingan nasional serta kepentingan negeri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

Dalam PRU14 lalu, BN berjaya memenangi 19 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak dengan PBB menang 13 kerusi sementara PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1). — DayakDaily