Perbarisan serah terima tugas Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia

Mohd Bustaman (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Salmi Istikh sebagai Pemangku Panglima 3 Briged.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 16: Bertempat di Padang Kawad Kem Semenggo 11 RAMD telah berlangsung upacara perbarisan serah terima tugas Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, semalam.

Perbarisan bermula dengan upacara serah terima tugas Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia yang menyaksikan Brigadier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin menyerahkan tampuk pemerintahan Panglima 3 Briged kepada Leftenan Kolonel Salmi Istikh Ahmad sebagai Pemangku Panglima 3 Briged yang ke-35.


Upacara menandatangani nota serah terima tugas serta penyerahan tongkat kuasa Panglima 3 Briged telah disaksikan oleh Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Toh Choon Siang.

Upacara perbarisan serah terima tugas itu melibatkan 24 pegawai dan 297 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Timbalan Komander Rejimen 511 AW, Leftenan Kolonel Fua’at Mohd Yatim.

Turut hadir adalah Ketua Staf Markas 3 Briged, Leftenan Kolonel Ilyas Hanafi, para pegawai kanan, Ahli Bakat di bawah naungan Briged Ketiga Infantri Malaysia dan pesara tentera.

Gambar kenangan selepas majlis serah tugas.

Acara diteruskan dengan majlis jamuan ringan mantan Panglima 3 Briged, Mohd Bustaman bersama warga 3 Briged di Dewan Makan 11 RAMD.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan terima kasih kepada semua warga 3 Briged yang selama ini telah memberikan kerjasama dan sokongan kepada beliau dalam menjalankan tugasnya sebagai Panglima 3 Briged selama tempoh 2 tahun 6 bulan.

Beliau berharap semua peringkat pegawai dan anggota terus memberikan kesetiaan dan komitmen yang tidak berbelah kepada Pemangku Panglima 3 Briged yang baharu demi kecemerlangan organisasi secara keseluruhannya.

Majlis diakhiri dengan acara ‘street lining’ oleh warga 3 Briged bagi memberi penghargaan kepada Mohd Bustaman dan Puan Nur Liza Yeo Abdullah di atas segala khidmat bakti yang dicurahkan selama berkhidmat dengan Tentera Darat khususnya. — DayakDaily