Pembinaan poliklinik kesihatan di Kem Penrissen berjalan lancar, dijadualkan siap Nov 2019

Bustaman (tengah) menerima cenderahati dari Ling (kiri) selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketujuh Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) Negeri Sarawak, di Dewan Bukavu, Kem Penrissen, Kuching, hari ini.

KUCHING, Jun 23: Projek pembinaan poliklinik kesihatan bernilai RM23 juta di Kem Penrissen yang akan dilengkapi kemudahan wad dan doktor pakar tentera secara keseluruhannya berjalan lancar sejak November tahun lepas dan sudah siap sebanyak 8.76 peratus.

Panglima 3 Brigade, Brigadier Jeneral Bustaman Mat Zin berkata projek tersebut yang dijadualkan siap November tahun hadapan ketika ini masih diperingkat awal pembinaannya dengan kerja mendirikan tiang dan membuat longkang besar.

“Bagi saya projek terbabit setakat ini secara keseluruhannya berjalan lancar dan tiada masalah besar, dan hanya ada berlaku sedikit kelewatan sahaja dan ini berdasarkan laporan terkini diterima kami Jun 22 lepas yangendedahkan projek telah terlewat (dari jadual penyiapan asal) selama 13 hari disebabkan cuti perayaan Gawai Dayak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketujuh Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) Negeri Sarawak, di Dewan Bukavu, Kem Penrissen, di sini, hari ini.


Juga menghadiri majlis perasmian mesyuarat itu ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Cawangan Sarawak, Leftenan Kolonel Dunging Serit,Pengurus Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (PERHEBAT) Negeri Sarawak, Amli Mohd Yasih dan mantan Presiden PVTM Negeri Sarawak, Thomas Ling Kui Eng.

Bustaman berkata kelewatan sedikit terbabit adalah disebabkan syarikat kontraktor projek berkenaan mengambil ramai
pekerja warga tempatan dari kaum Dayak dan mereka mengambil cuti panjang sehingga 12 hari bagi menyambut perayaan Gawai Dayak yang disambut Jun 1 lepas.

“Ini menyebabkan projek ini sedikit terlewat sebanyak 2.49 peratus atau selama 13 hari, tetapi syarikat kontraktor sudah memaklumkan kami yang mereka akan mampu mengejar kelewatan terbabit selepas ini,” katanya dengan pihaknya juga sentiasa memantau rapi perkembangan projek itu.

Bustaman (duduk tengah) bersama veteran tentera yang menjadi ahli Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) Negeri Sarawak yang menghadiri mesyuarat agung persatuan itu di Dewan Bukavu, Kem Penrissen, Kuching, hari ini.

Beliau berkata poliklinik tersebut akan menjadi pertama seumpamanya dibina di negara ini dengan kemudahan dua wad kekal yang ada 24 katil pesakit serta seramai enam doktor pakar segala bidang penyakit disamping menyediakan perkhidmatan doktor pakar pergigian.

“Buat masa sekarang, poliklinik terbabit dibina bagi kegunaan semua anggota tentera yang ada di negeri ini termasuk keluarga mereka dan perkhidmatannya juga akan dipanjangkan kepada warga veteran tentera di negeri ini,” katanya.

Katanya poliklinik terbabit juga perlu kerana rekod perubatan pegawai kanan tentera adalah rahsia dan tidak boleh dirujuk kepada hospital awam dan sekumpulan doktor pakar dari hospital tentera di Kuala Lumpur perlu berkunjung ke negeri ini setiap dua bulan sekali. — DayakDaily