Pekerja binaan cedera kaki akibat dihempap runtuhan dinding sekolah

Pasukan EMRS memberi rawatan awal kepada mangsa.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 16: Seorang pekerja binaan cedera di kakinya selepas dihempap oleh runtuhan dinding di Sekolah Kebangsaan (SK) Pajar Sejingkat di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu menyebabkan kedua-dua kaki mangsa berkenaan tercedera.


Ketua Operasi Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, Patrick Mawang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.42 pagi.

Jelasnya, sejurus itu pasukan EMRS telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Dengan kekuatan empat anggota terus bergegas ke lokasi kejadian dan telah memberi rawatan awal kepada mangsa.

“Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapakan rawatan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily