Peralatan berjumlah RM1.5 juta dirampas dari kilang papan lapis haram

Anggota polis menunjukkan mesin papan lapis yang dirampas.

SARIKEI, Ogos 7: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah melakukan serbuan ke atas sebuah kilang papan lapis yang beroperasi secara tidak sah di Jalan Sungai Paoh di sini.

Serbuan kira-kira pukul 10.20 pagi itu berjaya menahan seorang pekerja warga Indonesia yang bekerja di kilang memproses papan lapis tersebut.

Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, ACP Salehuddin Mat Zaman berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya bersama anggota SFC turut merampas dua buah jengkaut, mesin memproses papan lapis, genarator, papan lapis dan kayu bergergaji pelbagai saiz.


Jelasnya, nilai rampasan kesemua peralatan daripada kilang tersebut dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.

“Serbuan dan rampasan yang dibuat adalah hasil makulmat awam dan risikan yang dijalankan sebelum ini.

“Siasatan awal mendapati kesemua kayu bergergaji itu tidak mempunyai dokumen yang sah daripada Jabatan Hutan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Salehuddin menambah, ketika serbuan itu dilakukan, seorang pekerja warga Indonesia diberkas kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen sah daripada pihak berkuasa.

“Kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015,” katanya lagi. — DayakDaily