PERAIS agih bakul makanan kepada 60 ahlinya

Rapelson (berdiri dua dari kanan) bersama penerima bantuan makanan PERAIS.

KUCHING, 20 Julai: Seramai 60 peserta mendapat manfaat daripada Program Bakul Makanan anjuran Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS) baru-baru ini.

Menurut Presidennya Rapelson Richard Hamit, peserta yang terlibat adalah ahli-ahli Perais di Bengkel Seri Sarawak termasuk daripada kawasan Lundu, Kuching, Kota Samarahan dan juga Serian.

“Kenaikan harga barang ini bukan sahaja menjejaskan kebanyakan OKU namun ianya menjejaskan semua lapisan masyarakat di Malaysia,” katanya dalam program yang diadakan di Bengkel Seri Sarawak.

Rapelson menyarankan agar Kerajaan Persekutuan meneruskan dan memperkenalkan mempelbagaikan subsidi bagi membantu masyarakat untuk meringankan beban mereka.

Kerajaan Persekutuan juga digesa agar mengetatkan penguatkuasaan undang-undang, mengawal dan memantau kartel-kartel peniaga yang melobi, mengawal pengeluaran barang.

“Ini termasuklah peniaga yang menaikkan harga barangan terkawal sesuka hati ini seperti telur, minyak masak paket, ayam dan sebagainya.

“Tindakan undang-undang seperti pembatalan lesen perniagaan dan kompaun harus dikenakan kepada peniaga yang ingkar,” ujar beliau. — DayakDaily