60 peratus SSL padi menjelang 2030 – Dr Rundi

Dr Rundi (dua dari kiri) pada lawatan ke Taman Agro Rakan Impian di Samariang.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Julai: Sarawak memberi tumpuan khusus ke arah meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi ke tahap 60 peratus menjelang tahun 2030.

Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ketika ini SSL hanya 38 peratus.


“Bererti 38 peratus padi kita hasilkan dan yang selebihnya 62 peratus kita import dari negara luar.

“Kita harus ada 60 peratus SSL pada tahun 2030 . Inilah hasrat kerajaan pada masa ini, ” katanya ketika ditemui semasa lawatan kerja ke Taman Agro Rakan Impian di Samariang di sini, hari ini.

Justeru kata Dr Rundi, jumlah keluasan tanah bagi tanaman padi harus ditambah dan diusahakan dengan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti.

“Lembaga padi amat penting, kerana kita ingin memastikan masa depan iaitu dari sudut keselamatan makanan terjamin.

“Bayangkan jikalau tiada nasi di atas meja makan. Mahu makan apa kita?

“Maka jangan cakap bahawa kita tidak perlu tanam padi, ” tegas Dr Rundi.

Selain beras tambah beliau, Sarawak turut mengimport makanan lain dari negara luar.

“Begitu juga sumber makanan lain seperti daging lembu di mana kita hanya 12 peratus SSL.

“Bererti 88 peratus kita import. Begitu juga makanan ternakan dan baja juga kita import.

“Kita terlalu bergantung kepada bekalan makanan dari negara luar negara,” ujarnya.

Dr Rundi mengambil contoh masalah geopolitikal antara Ukrain dan Rusia yang mengakibatkan harga baja naik antara 3 hingga 4 kali ganda.

Justeru jelas beliau, kerajaan tidak dapat membeli bahan mentah untuk baja yang mengakibatkan kesukaran untuk membantu pekebun kecil khususnya pekebun kelapa sawit.

Menurut beliau, Sarawak terlalu bergantung kepada kelapa sawit di mana jumlah keluasan tanah untuk komoditi ini lebih 1.6 juta hektar.

Oleh yang demikian katanya, jumlah keluasan tanah untuk komoditi lain seperti padi, nenas, durian dan kelapa mesti ditambah sekitar 20,000 hingga 30,000 hektar. — DayakDaily