KUCHING, 26 Jan: Ahli-ahli Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) akan menerima pendahuluan pengagihan royalti sebanyak RM500 mulai 29 Januari ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi kenyataan semalam berkata, bayaran pendahuluan itu
dilaksanakan melalui Unlogged Performance Allocation (UPA).
“Jumlah agihan royalti tertunggak sebanyak RM11,788,347.18 akan diagihkan sebahagiannya secara permulaan melalui kaedah UPA kepada
ahli RPM dan PRISM yang layak dengan nilai sebanyak RM500.00 seorang.
“Dianggarkan seramai 1,134 ahli RPM dan 396 ahli PRISM akan menerima bayaran pendahuluan ini sebelum baki agihan tersebut akan diagihkan mengikut jumlah pelaporan penggunaan lagu,” kata KPDNHEP.
Dengan adanya inisiatif ini tambah KPDNHEP, ia diharap dapat membantu penggiat seni tanahair dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19.
Pada 9 Disember 2020, badan pelesenan RPM dan Jabatan Insolvensi Malaysia(MdI) telah bersetuju untuk melaksanakan agihan royalti pada satu mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Menteri Datuk Rosol Wahid. – DayakDaily