Penunggang motosikal maut selepas berlanggar dengan kenderaan 4WD di Selangau

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Advertisement

SELANGAU, 12 Feb: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 63 Jalan Sibu-Bintulu hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.10 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dengan sebuah motosikal.

“Penunggang motosikal mengalami cedera parah di kepala serta tidak sedarkan diri.

“Setelah diperiksa Pegawai Kesihatan dari Klinik Kesihagan Selangau, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa, 26, kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, manakala pemandu Toyota Hilux dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Setelah selesai siasatan polis di tempat kejadian, pasukan Bomba kemudian bertindak membersihkan kawasan kemalangan. — DayakDaily

Advertisement