Penunggang motosikal maut langgar tiang diheret lori

Keadaan di lokasi kejadian.
Advertisement

ASAJAYA, 31 Jan: Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia selepas dikatakan melanggar tiang yang tumbang di jalan raya akibat diheret sebuah lori di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.15 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Tiba di lokasi kejadian didapati sebuah lori tah terlekat kabel Telekom dan mengheret kabel tersebut beberapa meter dari lokasi asal dan menyebabkan beberapa tiang tumbang di tengah jalan.

“Salah satu tiang dipercayai telah dilanggar oleh penunggang motosikal dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pasukan bomba kemudian bertindak memotong kabel-kabel yang menghalang laluan kenderaan serta tiang-tiang dialihkan ke sisi dalam selepas mendapat kebenaran daripada pihak Telekom.

Sementara mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.32 petang. — DayakDaily

Advertisement