340 projek sakit, 36 kritikal di seluruh Sarawak — Timbalan Premier

Uggah (tengah) ketika sesi taklimat di pejabat JKR Bahagian Sibu di sini pada Selasa (31 Jan 2023). Foto: Ukas

KUCHING, 31 Jan: Sebanyak 340 projek dikategorikan sebagai projek sakit di seluruh Negeri.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah berkata, daripada jumlah tersebut 36 projek tertangguh secara kritikal.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menjelaskan, situasi tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh wabak Covid-19 yang menular sejak Mac 2020.


Namun katanya, terdapat juga kontraktor yang menghadapi masalah tenaga kerja, kewangan atau bahan binaan selain isu subkontraktor yang tidak mencapai prestasi yang bagus.

“Keadaan pandemik Covid-19 kini bertambah baik. Kami mahu semua kontraktor yang dianugerahkan mana-mana projek untuk melaksanakannya mengikut jadual dan kualiti yang ditetapkan,” katanya ketika lawatan beliau ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu di sini pada Selasa (31 Jan 2023).

Tegas Uggah, JKR Sarawak dijangka akan mengendalikan lebih banyak projek memandangkan Sarawak telah diberi autonomi untuk melaksanakan projek persekutuan bernilai RM50 juta ke bawah tanpa perlu merujuk kepada Putrajaya.

“Atas sebab itu, aspek kecekapan dan produktiviti tinggi adalah sangat penting sekarang. Pengarah JKR Sarawak Ir. Richard Tajan juga mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu iaitu sifar (0) projek sakit,” tegasnya lagi. — DayakDaily