539 kemalangan jalan raya, 7 kematian pada sepanjang Op Selamat TBC 2023

Gambar rekod antara kes kemalangan maut yang berlaku sepanjang Op Selamat TBC 2023.

KUCHING, 31 Jan: Jumlah kes kemalangan jalan raya di seluruh negeri sepanjang Op Selamat ke-19 sempena Perayaan Tahun Baru Cina (TBC) 2023 meningkat 116 kes pada tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi yang dijalankan dari 18 hingga 27 Jan itu merekodkan 539 kes kemalangan jalan raya berbanding 423 kes pada Op Selamat TBC 2022.

“Dari segi jumlah kes kemalangan maut pula, sebanyak tujuh kes kemalangan maut dicatitkan sepanjang tempoh pelaksanaan Op Selamat 19/2023 berbanding empat kes pada Op Selamat 17/2022 iaitu meningkat tiga kes atau 75 peratus.

“Sementara jumlah kematian juga telah meningkat sebanyak tiga kematian atau bersamaan dengan 75 peratus iaitu dari empat kematian pada Op Selamat 17/2022 kepada tujuh kematian pada Op Selamat 19/2023.

“Dari segi kecederaan pengguna kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut pula, pengguna kereta iaitu pemandu dan penumpang kereta adalah golongan yang paling ramai terkorban dengan jumlah seramai tiga orang atau 42.8 peratus dari jumlah keseluruhan diikuti oleh pejalan kaki iaitu seramai dua orang atau 28.6 peratus, pengguna motosikal iaitu seorang atau 14.3 peratus dan pemandu lori juga seorang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya antara punca peningkatan jumlah kemalangan yang berlaku sepanjang tempoh Op Selamat 19/2023 ini adalah kerana kecuaian dan kelalaian pemandu kenderaan sendiri yang gagal mengawal kenderaan dengan baik semasa memandu.

“Ini adalah faktor manusia iaitu perlakuan seperti memandu melebihi had laju, sehingga terbabas, bertembung depan dengan depan dan langgar belakang.

“Di samping itu juga, kecuaian semasa memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak selamat juga menjadi punca sehingga berlakunya kemalangan,” katanya.

Jelasnya, faktor lain adalah faktor jalan dan bentuk mukabumi seperti jalan berlubang dan selekoh tajam.

“Selain itu faktor mekanikal kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik juga menjadi penyebab kepada berlakunya kemalangan jalanraya,” katanya.

Sejumlah 6,602 saman telah dikeluarkan kepada pengguna jalanraya atas pelbagai kesalahan lalulintas di sepanjang tempoh enam hari Op Selamat 19/2023 dijalankan.

“Dengan itu, pihak PDRM ingin menasihatkan kepada semua pengguna jalanraya agar sentiasa mematuhi peraturan lalulintas serta mematuhi arahan daripada anggota penguatkuasa yang bertugas di jalanraya terutamanya menjelang musim perayaan.

Selain itu, Pihak PDRM juga menyeru semua pengguna jalan raya supaya sama-sama kita menjaga keselamatan diri dan orang yang kita sayangi, iaitu ketika berada di atas jalan raya. — DayakDaily