Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Tun Razak

Keadaan motosikal mangsa di lokasi kemalangan tersebut.
Advertisement

KUCHING, 24 Mei: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan membabitkan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Razak, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 33 tahun dan berasal dari Kampung Sindang Baru, Kota Samarahan.

Jelasnya mangsa semasa kemalangan tersebut berlaku dikatakan dalam perjalanan dari Jalan Foochow menuju ke Jalan Rengas sekitar jam 10 malam.

Advertisement

“Ketika kejadian sebuah kereta bergerak lurus dari arah Pending menuju Simpang Tiga dan tiba-tiba sebuah motosikal (mangsa) datang dari arah kanan masuk ke laluan kereta.

“Akibat jarak terlalu dekat menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal (mangsa) di bahagian hadapan.

“Impak kemalangan menyebabkan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan dengan kecederaan parah di kepala dan kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement