Tiga tekong darat ditangkap cuba seludup 18 Pati di Lundu

Tiga tekong darat yang ditahan dalam operasi tersebut.

LUNDU, 24 Mei: Tiga individu yang dipercayai tekong darat ditangkap selepas disyaki cuba menyeludup masuk 18 pendatang asing tanpa izin (Pati) di Kendaie, di sini semalam.

Infantri Divisyen Pertama melalui satu kenyataan akhbar memberitahu ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

Jelasnya, insiden berlaku sekitar jam 5.20 petang apabila sepasukan anggota dari Sektor Kendaie membuat serang hendap di lokasi kejadian.


Menurutnya, modus operandi suspek terbongkar, di mana seorang daripada mereka dilihat menunggang motosikal membuat tinjaun memastikan tiada pasukan keselamatan di sekitar laluan masuk di sempadan Malaysia-Indonesia.

Seterusnya, dua lagi suspek menggunakan sebuah lori dilihat memasuki laluan tersebut dan kemudian terus ditahan untuk pemeriksaan.

Hasilnya terdapat 18 Pati warga Indonesia termasuk seorang wanita berada di atas lori tersebut dan kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Alasan mereka memasuki negara ini adalah untuk mencari pekerjaan.

Kesemua suspek bersama Pati berusia lingkungan 19 hingga 42 tahun terbabit kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily