Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di atas jejambat Serian

Mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KUCHING, 20 Jan: Seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di kilometer 60, Jalan Kuching-Sri Aman malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohammad Eldi Hanani, berusia 30 tahun dan berasal dari Kampung Hilir, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa semasa kejadian bergerak dari arah Bandar Serian menuju ke Sri Aman iaitu sekitar jam 9.50 malam.

“Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya semasa melalui kawasan berselekoh di atas jejambat iaitu berhadapan dengan Pejabat Pos Serian.

“Motosikal mangsa telah melanggar tembok pembahagi jalan dan terseret di atas jalan raya.


“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan paramedik dari Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian menggunakan kenderaan polis untuk bedah siasat manakala motosikal yang digunakan mangsa dibawa pulang ke IPD Serian bagi tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. — DayakDaily