Wan Junaidi: Tekun Nasional sedia moratorium sehingga 6 bulan kepada usahawan terkesan banjir

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 20 Jan: Tekun Nasional menawarkan Inisiatif Prihatin Banjir kepada usahawan Tekun yang terkesan dengan banjir.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, inisiatif itu bagi meringankan beban yang dihadapi oleh usahawan sama ada menjejaskan premis perniagaan, kerosakan stok barangan atau pun kediaman mereka.

“Antara kemudahan yang ditawarkan oleh Tekun Nasional adalah menyediakan moratorium sehingga enam bulan kepada usahawan yang sukar untuk membayar balik pembiayaan akibat terkesan dengan banjir.


“Selain itu, usahawan Tekun yang terjejas dengan banjir dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan dalam akaun pembiayaan mereka dan boleh membuat penjadualan semula pembiayaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Junaidi, bagi usahawan Tekun yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan, mereka boleh memohon pembiayaan bertindih untuk memulakan semula perniagaan yang terjejas.

Katanya, dalam tempoh yang sukar ini usahawan seharusnya dibantu bagi memastikan mereka dapat meneruskan perniagaan dan kelangsungan hidup mereka.

“Usahawan boleh mengemukakan permohonan di semua Pejabat Tekun Cawangan dengan menyertakan dua keping gambar premis perniagaan atau rumah yang terlibat bencana serta mendapatkan pengesahan pegawai Tekun di cawangan berdekatan berkaitan bencana banjir.

“Permohonan boleh dikemukakan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh berlakunya bencana banjir,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, maklumat lanjut mengenai Inisiatif Prihatin Banjir Tekun ini akan diwar-warkan melalui laman media sosial Tekun dalam tempoh terdekat.

Sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga 2020, Tekun Nasional telah memberi pembiayaan perniagaan kepada 474,965 orang usahawan yang bernilai RM6.4 billion di seluruh negara. — DayakDaily