Lori bawa muatan minuman keras bernilai RM38,212 ditahan selepas diekori dari Kota Sentosa

Kelihatan suspek yang ditangkap serta lori dan minuman keras yang disita untuk siasatan lanjut.

KUCHING,20 Jan: Seorang pemandu lori ditahan kerana didapati membawa muatan 250 kotak minuman keras disyaki tiada cukai kastam semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 ACP Shamsol Kassim berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditangkap selepas dikatakan cuba melarikan diri apabila menyedari dirinya diekori pasukan operasi iaitu sekitar jam 2.15 petang.

Beliau memberitahu pasukan operasi mula mengekori lori suspek selepas dilihat berkelakuan mencurigakan di Kota Sentosa, di sini.


“Pamandu lori cuba melarikan diri dan kami berjaya menahan lori tersebut di Taman Sarmax dan dia kemudian diarahkan untuk membuka pintu belakang lori tersebut.

“Hasil pemeriksaan ada sejumlah kotak-kotak berisi minuman bir dan pemandu gagal mengemukan dokumen sahih berkaitan minuman keras tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Seterusnya, minuman keras dianggarkan bernilai RM38,212 dirampas untuk siastan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kesemua rampasan termasuk lori yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM118,212 serta tangkapan (suspek) diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily