Penunggang motosikal maut, berlanggar dengan kereta di Jalan Puncak Borneo

Keadaan hadapan Perodua Kancil yang remuk akibat perlanggaran tersebut.
Advertisement

KUCHING, 7 Mac: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan di Batu 15, Jalan Puncak Borneo semalam (6 Mac).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun berasal dari Kampung Sarig semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Batu 10 pada sekitar jam 8.10 malam.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, mangsa telah berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan.

Advertisement

“Hasil siasatan awal mendapati perlanggaran tersebut berlaku di antara depan dengan depan, di mana perlanggaran berlaku di garisan putih di tengah jalan.

“Semasa kemalangan berlaku, cuaca adalah hujan lebat dan keadaan jalan gelap tanpa lampu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Impak kemalangan tersebut menyebabkan mangsa tercampak dari atas motosikalnya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pasukan penyiasat juga telah mengambil sampel darah pemandu kereta terbabit dan turut merakam percakapannya,” kata Alexson. — DayakDaily

Advertisement