Penunggang motosikal dipercayai mangsa langgar lari maut di Miri

Gambar komposit keadaan di lokasi kejadian dan motosikal mangsa selepas kemalangan tersebut.

MIRI, 22 Okt: Seorang penunggang motosikal maut akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan di Kilometer 76 Jalan Persisiran Pantai iaitu berhampiran Simpang Sepupok, di sini semalam (khamis).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 28 tahun dan berasal dari Kampung Iran Suai, Niah.
Katanya, mangsa semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Kampung Iran menuju ke Batu Niah sekitar jam 12.30 tengah hari.
“Dipercayai motosikal mangsa telah bergesel dengan sebuah kenderaan lain sehingga dia terbabas dan terjatuh menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala dan tangan kanannya terputus.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Klinik Batu Niah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Miri untuk dibedah siasat.
Menurutnya, kenderaan yang bergesel dengan mangsa juga dilaporkan telah melarikan diri dari lokasi kejadian.
Justeru, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kenderaan yang terlibat agar menyalurkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily.