Remaja lelaki maut digilis jentera berat di Bintulu

Jentera berat yang mengilis mangsa.

BINTULU, 22 Okt: Seorang remaja lelaki maut akibat digilis jentera berat ketika sedang bekerja di Jalan Johari Sunam, di sini semalam (khamis).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa,17 tahun berasal dari Kampung Pasir Lutong, Miri.
Katanya, semasa kejadian mangsa sedang bekerja meratakan aspal (tar) di jalan tersebut yang dalam pembinaan pada jam 5.15 petang.
“Tanpa menyedari mangsa, pengendali jentera pembuat jalan (tyre roller) telah melanggar mangsa dan tergilis oleh jentera tersebut.
“Pengendali jentera hanya menyedari mangsa apabila mendengar jeritan pekerja lain, lalu terus memberhentikan jentera tersebut dan mendapati mangsa berada di bawah jentera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian segera dikejarkan ke Hospital Bintulu, namun disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily.