MIRI, 27 Nov: Seorang penunggang motorsikal maut dalam satu kemalangan membabitkan dua buah motorsikal awal pagi tadi.
Kejadian berlaku di Jalan Miri-Airport pada jam 4.30 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motorsikal Yamaha Legenda terbabas sendiri sebelum dilanggar oleh motorsikal yang datang dari arah belakang.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah motorsikal jenis Yamaha Legenda yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 20 tahun dan motorsikal yang ditunggang oleh lelaki berumur 15 tahun,” ujarnya.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motorsikal Yamaha Lagenda tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Miri,” katanya.
Satu kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebagai makluman juga, pihak polis menasihatkan masyarakat umum agar tidak membenarkan anak-anak mereka yang masih di bawah umur untuk menunggang atau memandu sebarang kenderaan kerana adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 jika membenarkan seorang yang berumur kurang dari 16 tahun memandu kenderaan motor di atas jalan. — DayakDaily