Penunggang maut di Serian, motosikal terperosok di bawah lori

Keadaan motosikal mangsa yang terperosok di hadapan sebuah lori dalam kejadian kemalangan di Tapak pembinaan jalan di Bukit Rasau, Serian.

SERIAN, 24 Mac: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori di KM65 Jalan Kuching-Sri Aman petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, 44, yang berasal dari Kampung Meboi di sini, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, siasatan awal kejadian mendapati ia berlaku apabila mangsa cuba untuk memotong lori terbabit yang ketika itu hendak memasuki simpang dekat tempat pembinaan jalan di Bukit Rasau.


“Ketika kejadian, pemandu lori terbabit yang dalam perjalanan datang dari arah Kuching menuju ke arah Sri Aman.

“Apabila sampai di tempat kejadian semasa dia (pemandu lori) ingin masuk ke simpang sebelah kanan iaitu tempat pembinaan jalan Bukit Rasau, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang mangsa memotong dari arah sama beberapa buah lori yang berada di belakang lori yang dipandu oleh pemandu tebabit.

“Situasi itu menyebabkan mangsa melanggar bahagian tepi hadapan sebelah kanan lori tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat daripada perlanggaran tersebut, motosikal mangsa telah terperosok di bawah lori terbabit dan terseret ke simpang masuk tapak pembinaan jalan berkenaan.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan paramedik manakala pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Alexson berkata, pihaknya turut menahan pemandu lori terbabit untuk siastan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Serian untum tindakan selanjutnya.

“Kita juga menahan kenderaan terlibat bagi tujuan pemeriksaan oleh Puspakom di Kuching,” katanya. — DayakDaily