Chong ketuai jawatankuasa PH Sarawak yang distruktur semula

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 24 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Chong Chieng Jen dilantik untuk mengetuai Jawatankuasa Pakatan Harapan (PH) Sarawak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) menerusi penstrukturan semula jawatankuasa rasmi PH Sarawak.

Setiausaha publisiti PH Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, selain Chong, pembantu beliau, Michael Kong dilantik sebagai Timbalan Pengerusi I manakala Abang Abdul Halil Abang Naili dilantik ke jawatan Timbalan pengerusi II.

Jelas beliau, penstrukturan semula jawatankuasa susulan perletakan jawatan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sarawak, Larry Sng.


“Dalam mesyuarat PH yang diadakan semalam (23 Mac), PH Sarawak telah menyusun semula secara ‘formal’ jawatankuasa PH bagi memperkasakan gabungan ini untuk menghadapi PRN12 akan datang.

“Dalam mesyuarat itu juga kita turut sebulat suara bersetuju untuk melantik Senator Alan Ling Sie Kiong sebagai Setiausaha PH negeri, Chiew Chiu Sing sebagai Bendahari sementara Saifunnizam Sam dan Violet Yong masing-masing akan mengetuai cabang Pemuda dan Wanita PH Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mexwell Rojis, Mohamad Fadilah Sabali, Andri Zulkarnaen, David Wong Kee Woan, Dr Kelvin Yii dan Roland Engan pula dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang distruktur semula itu.

Jelas Abang Zulkifli, pada mesyuarat berkenan jawatankuasa terbabit juga bersetuju untuk menubuhkan beberapa biro yang dianggap penting bagi memperjuangkan dan menjaga hak rakyat.

Antaranya ialah Biro ‘Land Reform’ dan Biro Perkhidmatan Awam yang masing-masingnya diketuai oleh Joshua Jabeng dan Leon Donald.

“Mengambil kira pelbagai masalah rakyat, PH telah merancang beberapa program bersama untuk menyantuni rakyat, terutama sekali rakyat yang terkesan akibat pendemik Covid-19.

“Disamping itu juga PH mengambil sikap terbuka untuk memperhalusi kawasan-kawasan yang rakan-rakan PH akan bertanding,” katanya. — DayakDaily