Penumpang pesawat komersial temui ajal

Mayat mangsa dibawa keluar dari sebuah pesawat di LTAK, hari ini.

KUCHING, Mac 25: Para penumpang sebuah pesawat komersial yang sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching gempar dengan kejadian seorang penumpang lelaki yang disahkan maut dalam pesawat tersebut hari ini.

Kematian mangsa, Wong Ho Huah, 46, yang menetap di Taman Green Height, Sri Aman, dimaklumkan oleh penyelia pesawat itu, Jenny Hana, pada kira-kira pukul 11.10 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Abang Junaidi Abang Annuar mengesahkan menerima laporan kematian mangsa.

Katanya, pesawat komersial itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini pada pukul 12.03 tengah hari.

“Sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke LTAK di sini bagi tindakan selanjutnya.


“Mayat mangsa kemudian dibawa keluar dari pesawat tersebut sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Junaidi menambah, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat penyakit kanser darah yang dihidapinya kira-kira dua tahun lepas.

Jelas beliau, kematian lelaki yang ditemani abangnya itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya lagi. — DayakDaily